UPSR COUNTDOWN

Lagu Sekolah


Posted by Sk.Pend.Khas Seremban on 9:57 PM

Sejarah Tulisan Braille

Louis Braille dilahirkan pada 4 Januari 1809 di bandar Coupvray berhampiran Paris. Beliau merupakan pengasas tulisan braille, iaitu titik timbul bagi menggantikan huruf dan nombor. Louis Braille merupakan anak keempat kepada seorang tukang kulit bernama Simon René Braille dan mempunyai penglihatan normal ketika kecil. Ibunya bernama Monique. Ketika berusia 3 tahun Louis Braille telah bermain-main di kedai ayahnya apabila dia tercucuk matanya dengan satu peralatan menebuk lubang pada kulit 'awl' (peralatan dengan hujung tajam dengan pemegang kayu bulat) kepunyaan bapanya. Walaupun mendapat khidmat perubatan terbaik pada masa itu, matanya yang sebelah lagi terkena jangkitan kuman mengakibatkan Louis Braille kehilangan penglihatan di kedua-dua belah matanya.

Walaupun buta, Louis Braille mendapat galakan ibubapanya, paderi tempatan dan guru sekolah untuk menghadiri kelas di mana dia mendahului rakan-rakannya yang celik. Bagaimanapun, disebabkan kecacatan penglihatan, dia tidak dapat membaca atau menulis. Pada tahun 1819, ketika berusia 10 tahun, Louis Braille telah mendapat biasiswa untuk belajar di Paris di Institut Kanak-Kanak Buta. Pengasas institut tersebut, Valentin Haüy, telah mendapat idea untuk membekalkan buku dengan huruf timbul untuk dibaca oleh orang buta. Buku-buku tersebut agak sukar dibaca, tebal dan mahal untuk dibuat, dengan setiap hurufnya sebesar 1 inci tinggi. Keadaan di sekolah tersebut amat tegas. Bangunan sekolahnya lembap dan melaksanakan sistem displin yang tegas sebagaimana sekolah-sekolah lain pada masa itu. Pelajar yang bersalah akan dirotan, dikurung, dan diberi roti keras dan air. Kehidupan semua orang adalah susah dan kebanyakan pelajar yang dapat melihat akan bekerja ketika berusia 12 tahun di kilang atau dalam lombong arang batu.

Di sekolah di Paris, pelajar buta akan diajar kemahiran praktikal seperti menganyam kerusi dan membuat selipar agar mereka dapat mencari nafkah selepas menamatkan persekolahan. Sekali seminggu, mereka akan dibawa bersiar di taman dengan diikat di pinggang dengan tali. Mereka diajar membaca tetapi tidak untuk menulis. Huruf di buku dibuat dengan menggunakan wayar tembaga yang ditekan pada kertas. Disebabkan setiap huruf perlu dibentuk menggunakan wayar, orang buta tidak dapat melakukannya dengan sendiri. Di sekolah itu hanya terdapat empat belas buku seperti itu dan Loius Braille membaca kesemuannya. Louis Braille merupakan seorang yang berbakat. Dia mempelajari cara bermain cello dan organ ketika masih muda dan bermain organ di gereja seluruh bandar Paris. Muzik memberikannya pendapatan yang tetap dan Loius Braille menggemarinya.

Pada tahun 1821, seorang pegawai tentera Charles Barbier de la Serre telah membuktikan bahawa perutusan yang ditulis dengan titik dan tanda sengkang dapat ditekan di atas kertas tebal untuk kegunaan perhubungan ketenteraan pada waktu malam ketika dalam parit pertahanan. Ini untuk mengelak daripada dikesan oleh musuh, tetapi ditolak oleh pihak tentera disebabkan kesukaran untuk melatih tentera. Sistem penulisan malam ataupun sonography menggunakan dua belas titik dan sengkang yang timbul mewakili bunyi berlainan. Tanda sengkang memakan banyak ruang dan setiap muka surat hanya dapat diisi dengan satu atau dua ayat. Charles Barbier menunjukkan cara penggunaan tulisan malam di sekolah Louis Braille yang menerimanya sebagai percubaan sahaja. Louis Braille menyedari kebaikan sistem titik timbul dan berusaha untuk memudahkannya.

Ketika bercuti Louis Braille menghabiskan masanya memperbaiki cara penulisan timbul ini. Louis Braille menyedari kelematan sistem Sonography seperti penggunaan asas dua belas titik dan penulisan berasaskan bunyi. Ketika berada dibengkel ayahnya, Louis Braille menyentuh alat penebuk ayahnya dan dia mendapat idea untuk menggunakan alat penebuk yang tumpul untuk membentuk tanda titik timbul di atas kertas. Selepas beberapa bulan berusaha, dia mendapati sistem enam titik timbul sebagai yang terbaik. Kedudukan titik yang berbeza mewakili huruf berbeza. Louis Braille terus memajukan penulisan braille selama beberapa tahun, memajukan kod mathematik dan muzik.

Pada tahun 1827 buku braille pertama dikeluarkan. Bagaimanapun sistem baru ini tidak diterima serta merta. Ini disebabkan terdapat halangan oleh mereka yang tidak memahami keperluan orang buta dan tidak mahu menerima atau menggalakkan penggunaan bentuk tulisan yang tidak dapat dibaca oleh orang biasa. Malah salah seorang pengetua di sekolah Louis Braille melarang penggunaan tulisan braille dan membakar buku braille yang ada. Bagaimanapun tulisan braille terus dipelajari dan digunakan oleh pelajar-pelajar dengan secara bersembunyi. Louis Braille sentiasa gigih menyebarkan tulisan braille dan akhirnya barulah tulisan braille diterima. Pada tahun 1834 Louis Braille menyempurnakan sistemnya dan menerbitkan buku Cara Menulis Perkataan, Muzik, Dan Lagu Dengan Menggunakan Titik Untuk Kegunaan Orang Buta Dan Disusun Oleh Mereka "Method of Writing Words, Music and Plain Song by Means of Dots, for Use by the Blind and Arranged by Them" .

Dengan menggunakan tulisan braille, sekarang orang buta bukan saja boleh membaca, malah dapat menulis dengan menggunakan peralatan tajam menyerupai penebuk 'awl' yang membutakan mata Louis Braille dahulu. Mereka kini dapat berdikari. Louis Braille menjadi guru di sekolah tempat dia belajar dahulu. Louis Braille dikagumi dan dihormati oleh pelajar- pelajarnya kerana kegigihannya, tetapi dia tidak dapat melihat sistem penulisan braillenya diterima ramai. Louis Braille sering diserang penyakit dan pada tahun 6 Januari 1852 ketika berumur 43 dia mati akibat penyakit Penyakit Batuk Kering.

Pada permulaannya sistem tulisannya hampir terkubur tetapi beberapa orang penting menyedari kepentingan ciptaan Louis Braille dan pada tahun 1868, Dr. Thomas Armitage (1824-1890) dan tiga rakannya mengasaskan 'British and Foreign Society for Improving the Embossed Literature of the Blind'. Kumpulan sahabat yang kecil ini bertambah dan menjadi Institusi Negara DiRaja Untuk Orang Buta 'Royal National Institute for the Blind', pencetak buku braille terbesar di Eropah dan British. Pada tahun 1990, tulisan braille digunakan di seluruh dunia dan diterima pakai oleh hampir semua bahasa daripada Albani hingga ke Zulu.

Di Perancis pencapaian Louis Braille diakui ditahap kebangsaan dan pada tahun 1952, jasadnya dipindahkan ke Paris di mana dia dikebumikan di Pantheon, tempat pengkebumian wira negara Perancis. Melalui usaha Louis Braille, beribu-ribu orang buta dapat membaca dan menulis.

Abjad Braille

Braille terdiri daripada sel yang mempunyai 6 titik timbul yang dinomborkan seperti berikut:



Huruf Braille Bahasa Melayu adalah hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris. Perkataan, simbol (seperti tanda seru dan tanda soal), beberapa perkataan dan suku kata boleh didapati secara terus. Contohnya perkataan orang dipendekkan kepada org. Ini membolehkan buku buku Braille yang lebih nipis dicetak.

Simbol Braille juga telah diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik. Kini Braille telah diubahsuai dengan menambah dua lagi titik menjadikan Braille menjadi kod 8 titik. Ini memudahkan pembaca Braille mengetahui huruf tersebut adalah huruf besar atau kecil. Selain itu, penukaran ini membolehkan huruf huruf ASCII dipertunjukkan dan kombinasi 8 titik ini diekodkan dalam standard Unicode.

Braille boleh dihasilkan menggunakan batuan loh ( slate) dan stilus ( stylus ) di mana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin, menggunakan tangan, atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler. Braille juga boleh dihasilkan menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.


Abjad Braille





Nombor Braille


Contoh tulisan Braille


Al-Quran Cetakan Braille


Mesin Braille

0 comments:

Search